Hidup Bersama

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan tofan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tonggak dan menara kebahagian.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia
menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;
dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

A. Samad Said.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s